ANAK POLIS BAKAL BIDIK PINGAT

KUALA LUMPUR: Dengan latar belakang keluarganya, tidak hairanlah Zul Haziq Rosli berjinak-jinak dengan senjata api sebagai sukan kegemarannya.

Ibu bapanya anggota polis, maka Haziq yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Polis Depot dan SMK Padang Tembak sebelum melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Sukan Bukit Jalil, tidak kekok menceburi sukan menembak.

Berbekalkan reputasi selaku juara Sukan Malaysia (Sukma) dalam acara kegemarannya raifal angin 10 meter individu pada 2014 dan 2016, Haziq mengintai pingat di Sukan SEA di bumi sendiri.

Haziq menghimpun kekuatan diri berlandaskan pengalaman yang dikutip menyarung jersi negara dalam Piala Dunia ISSF di India, Thailand, Korea Selatan serta Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) dan Sukan Universiti Dunia.

Namun dengan Thailand dilihat sebagai kuasa tradisi dalam acara raifal angin, tidak mustahil Haziq mampu mencabar dalam acara raifal 50m prone yang menuntut seorang penembak itu melepaskan tembakan dalam posisi meniarap.

Haziq adalah antara empat penembak rifle di bawah kendalian jurulatih Mohd Sabki Din dalam Program Kita Juara yang masuk Fasa Kedua. Penembak rifle yang melengkapkan senarai pelatih Kita Juara ialah Muhammad Zubair Mohamad, Mohd Hadafi Jaafar dan Shahera Rahim Raja.

Menjadikan Nur Suryani Taibi sebagai sumber inspirasi, Haziq berharap meneruskan bidikan tepat agar kekal berada di landasan pemilihan untuk Sukan SEA pada 19-31 Ogos nanti.

“Dengan jumlah pertandingan di peringkat tempatan dan antarabangsa yang bakal kami sertai, saya percaya dapat menyumbang pingat untuk negara nanti,” katanya yang kini sedang menuntut di UiTM Shah Alam.

 

 

Nama penuh: Zul Haziq Rosli

Tarikh lahir: 23 Februari, 1996

Asal: Kuala Lumpur

Tinggi: 178sm

Berat: 100kg

Makanan kegemaran: Masak lemak cili api, telur masak kicap

Minuman kegemaran: Nescafe O ais, kopi ais

Pencapaian: Pingat emas air rifle 10m individu Sukan Malaysia 2014 dan 2016