FARAH ANN DAN SI PARI-PARI BERTERBANGAN

KUALA LUMPUR: Farah Ann Abdul Hadi bukan satu nama asing.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura ini jelas seorang ikon dalam gimnastik dan antara atlet negara yang dikenali ramai.

Bersama Tracie Ang, Rachel Yeoh, Nur Eli Ellina Azmi dan Tan Ing Yueh, Farah dijadikan sandaran oleh jurulatih Natalia Sinkova dan Ng Shu Wai berdansa memikat hati juri bagi mengutip markah sempurna Ogos nanti.

Tentu sekali harapan tinggi untuk sekumpulan gadis lincah ini mengulangi pencapaian di Singapura 2015 dengan mengutip tiga emas.

Di seberang Tambak, skuad gimnastik artistik wanita mengutip emas  menerusi Farah dalam senaman lantai, berpasukan (Farah, Tracie, Ing Yueh, Eli, Lavinia Jayadev, Siti Nur Bahirah Ahmad) dan Ing Yueh dalam palang bertingkat.

Bagi Farah, tekanan memburu kemenangan di laman sendiri harus diurus dengan baik.

Umum mengetahui hobinya membaca dan mentelaah buku, khususnya cerita fiksyen.

Untuk menghilangkan stres, Farah gemar menyelam skuba dan juga ke dasar laut.

“Biasanya saya akan bersama keluarga pada hujung tahun untuk menyelam. Rutin tahunan sebegitu memberi kami ruang untuk waktu santai bersama keluarga, selain menghilangkan tekanan harian,” katanya.

Farah dan rakan-rakan memburu ruang menaiki podium dalam melombol (vault), palang bertingkat (uneven bars), senaman lantai (floor exercise), batang titian (balance beam) dan berpasukan apabila tirai Sukan SEA ke-29 disingkap 17 Ogos nanti.
Penuntut Universiti Monash yang mengejar Ijazah Sarjana Muda dalam Sastera ini dijadual berkelana ke Melbourne untuk menyertai Piala Dunia Gimnastik FIG Februari nanti – satu stesen penting menjelang Sukan SEA.
Menggemari labu squash dan lasagna serta jus tembikai, Farah yang berdarah kacukan Melayu-Kanada ini mencuri masa merehatkan tubuh dan minda dengan membaca koleksi buku melebihi 1,000 naskhah, termasuk siri Divergent, Hunger Games dan Mortal Instruments.
Fantasi dan fiksyen tidak dapat dipisahkan daripada Farah,
Di alam realiti di gelanggang gimnastik, mindanya membayangkan rutin sempurna ke arah membutirkan pingat emas.
Di luar gelanggang, fikirannya dibiarkan berfantasi, direlakan melayang sambil membayangkan si pari-pari berterbangan, sang naga menyembur api atau kuda ajaib bertanduk dan bersayap.
Seluruh negara harus mendoakan Farah dan rakan-rakan diberi sayap dalam melonjakkan nama Malaysia di laman sendiri nanti.
BIODATA

FARAH ANN ABDUL HADI

Tarikh lahir: 3 Mei, 1994

Asal: Subang, Selangor

Tinggi: 165sm

Berat: 52kg

Pencapaian: Perak dalam palang bertingkat di Piala Cabaran Dunia FIG di Slovenia 2016, dua emas, satu perak dan satu gangsa (Sukan SEA 2015), ke-11 (Sukan Komanwel Glasgow 2014).