GUNUNG TAHAN MENANTI PESILAT

KUALA LUMPUR (25 Disember): Latihan ketahanan mental dan fizikal bakal dilalui pesilat negara dalam usaha memantapkan psikologi serta keyakinan diri sebagai persiapan memburu lapan pingat emas di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur nanti.

Pengurus pasukan skuad silat negara, Azmi Talib, berkata destinasi Gunung Tahan di Pahang menjadi lokasi kesemua atlet Kita Juara yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Selepas kembali dari ke Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-17 di Bali, Indonesia, pada 3-9 Disember lalu, kami  kenal pasti beberapa kelemahan khususnya dari segi persediaan mental dan fizikal.

“Mengambil kira pandangan semua dan persediaan awal, kesemua atlet Kita Juara akan dibawa memantapkan jati diri di Gunung Tahan, Pahang,” katanya.pada sidang media di perhimpunan atlet Kita Juara Fasa 2 di Hotel Renaissance baru-baru ini.

Azmi turut memaklumkan, lapan emas yang menjadi sasaran pada temasya itu dibahagikan kepada enam untuk silat olahraga dan dua lagi dari kelas C.

“Temasya dua tahun lalu di Singapura kita membawa pulang dua pingat emas, tapi untuk kali ini berdasarkan peningkatan prestasi semasa barisan atlet dalam beberapa kejohanan yang disertai , sasaran lapan emas adalah realistik,” katanya.

Mengenai tekanan anak didiknya yang bakal diterima terutama beraksi di laman sendiri, Azmi melihat pengalaman dalam beberapa siri kejohanan banyak mematangkan atlet-atletnya.

“Bermain di tempat sendiri bagi saya ia kelebihan dan bukannya tekanan kerana kesemua atlet kita semakin matang, mereka bukan baru menyertai kejohanan dan aura penyokong akan memberi kelebihan buat atlet negara,” ujarnya.

Sidang media terbabit turut dihadiri Jurulatih skuad silat, Mazlan Shaari dan Nor Hamizah Abu Hassan serta Nor Syazreen Malik yang bakal bertanding dalam kategori Ganda Putri serta Razak Ghazali (Kelas Putra D).

Bagi Razak, penyertaan kali pertama dalam Sukan Sea di Kuala Lumpur nanti tidak akan menghadirkan rasa gerun kerana telah bersedia sepenuhnya.

“Selepas tidak bersama pasukan negara di Singapura dua tahun lalu akibat kecederaan, kini saya kembali untuk menghadirkan pingat emas buat negara dan diri sendiri.

“Beraksi di laman sendiri akan memberikan lebih keyakinan buat diri saya kerana sorakan penyokong umpama aura untuk terus bersaing. Setaip kali turun beraksi saya hanya fikirkan kemenangan dan itulah akan dilakukan pada aksi di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, NurSyazreen pula kini gigih memperbaiki beberapa kelemahan yang ada pada dirinya selepas pulang dari Bali Indonesia.

“Penghayatan perlu mantap dan terus berlatih mengikut perancangan, emas adalah sasaran dan yakin mampu melakukannya,” jelas atlet yang memiliki ketinggian 157cm dan berat 53 kilogram itu.

Bagi pasangan NurSyazreen dalam ganda putri, iaitu Nor Hamizah, dia melihat potensi atlet Indonesia dan Vietnam mampu meranapkan impiannya untuk meraih pingat emas kali ini.

“Berdasarkan beberapa siri kejohanan sebelum ini bagi saya, atlet Indonesia dan Vietnam antara halangan utama, tapi saya telah bersedia sepenuhnya hasil latihan dan tunjuk ajar dari jurulatih.

“Setiap kali beraksi, fokus adalah penting,” katanya.

Seramai 23 pesilat negara yang bernaung di bawah program Kita Juara ialah Wan Ahmad Rasfan Wan Abdul Halim (Kelas Putra A), Muhammad Faizul M Nasir (Kelas Putra B), Mohamad Zarish Hakim Shukor (Kelas Putra C), Razak Ghazali (Kelas Putra D),  Mohd Khusairy Azhar (Kelas Putra G), Muhammad Robial Sobri (Kelas Putra H), Ahmad Badrirullah Rahmat (Kelas Putra I),  Mohd Khaizul Yaacob (Kelas Putra J), Mohd Afifi Nordin (Tunggal Putra), Mohd Taqiyuddin Hamid dan Rosli Mohd Sharif (Ganda Putra), Muhammad Amir Rabbani Saedan, Mohd Faiz Abdul Malek serta Muhammad Syafiq Ibrahim (Regu Putra).

Bagi skuad wanita, Kita Juara dibarisi oleh Nurul Annisa Mohd Sobri (Kelas A Putri), Siti Zubaidah Che Omar (Putri C), Nurul Ain Sohrab (Putri D), Nur Atikah Alias (Tunggal Putri), Nor Hamizah Abu Hassan serta Nor Syazreen Malik (Ganda Putri), Norfazlina Abdullah Sani, Siti Farah Hanim Samsudin dan Wan Nur Shela Muntaha (Regu Putri).

Skuad negara mengutip tiga emas, dua perak dan tiga gangsa di saingan di Singapura pada 2015. Emas dimenangi Al Jufferi Jamari, Siti Rahmah Nasir dan Faizul M Nasir.

Terbaharu di Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-17 di Bali, Indonesia, pada 3 hingga 9 Disember lalu, skuad pencak silat mengutip tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa.