KEM BAWA MAKNA

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Atlet Kita Juara Fasa 2 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur baru-baru ini disambut positif oleh atlet.

Mereka berpendapat kem berkenaan – yang dimulakan dengan amanat daripada Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin, taklimat ketua kontinjen, sesi pengurusan media, diselang-seli dengan pelbagai sesi motivasi dari segi pembentukan semangat sepasukan, sahsiah dan kenegaraan – menyediakan atlet dari sudut mental ke arah memburu kecemerlangan di Sukan SEA ke-29 pada 19-31 Ogos nanti.

Bagi atlet silat, mereka mendapati hotel penginapan rasmi kontinjen cukup dekat dengan venue pertandingan di KLCC 2.

“Ini memudahkan kami memberi tumpuan nanti,” kata Nur Syazreen Malik, peserta acara ganda puteri.

Penerjun Joey Loh Zhiayi yang bakal beraksi pada temasya Sukan SEA ketiganya, pula puas hati dengan kemudahan yang disediakan.

“Yang penting sesi kali ini memberi kami ruang mengenali atlet lain,” katanya.

Penembak, Alia Sazana Azahari yang mengutip pingat emas acara 25m sport pistol di Sukan SEA Singapura 2015, menganggap pengisian kem yang diatur cukup bagus.

“Kami gembira dengan sesi yang diatur manakala amanat YB Khairy jelas untuk memastikan kontinjen muncul juara,” katanya.