POTRET KEJAYAAN RIKI

KUALA LUMPUR: Daripada perak bertukar kepada emas.

Itu azam atlet triathlon negara, Rikigoro Shinozuka, menjelang percubaan keduanya di temasya Sukan SEA Ogos nanti.

Bukan mudah untuk menyempurnakan misi itu. Sebagaimana atlet tiga disiplin ini, Riki diwajibkan melengkapkan cabaran dengan berenang sejauh 1.5 kilometer, berbasikal berjarak 40 kilometer sebelum berlari 10 kilometer.

Di East Coast Park, Singapura pada edisi 2015, atlet kacukan Jepun-Cina Malaysia ini menyempurnakan tiga disiplin itu dalam tempoh dua jam lima minit 35 saat, atau 2:05.35, tewas kepada jaguh Filipina, Nikko Bryan Huelgas.

Lebih mesra dengan panggilan Riki, atlet yang baru berusia 22 tahun 13 Januari lalu ini, optimis menukar perak kepada emas Ogos nanti.

Dengan bimbingan Luc Morin, atlet triathlon yang berpangkalan di Montreal, Kanada, Riki percaya latihan intensifnya bakal membawa hasil.

“Saya dan Luc berkomunikasi dalam alam maya. Itu tidak menjadi masalah kerana kami berkongsi maklumat dan program latihan menerusi pelbagai aplikasi dan perisian,” katanya.

Dengan latar belakang Morin yang memiliki Sarjana Sains dalam Fisiologi Senaman dan Sarjana Muda dalam Kinetik Manusia pengkhususan dalam biomekanik, Riki berharap mengutip pengalaman berharga untuk diterjemahkan ke dalam bentuk kemenangan.

Pada asalnya Riki yang bersekolah di Alice Smith School dan Japanese school, menceburkan diri dalam larian trek jarak sederhana.

Pada masa yang sama dia aktif dalam renang sebelum diperkenalkan kepada triathlon pada usia 15 tahun.

Riki mengucapkan penghargaan kepada ibunya, Audrey yang juga seorang penterjemah serta adiknya Mayumi, yang turut aktif dalam triathlon.

“Sokongan keluarga penting dalam kerjaya ini,” katanya yang sedang menuntut di Epsom College.

Ditanya mengenai hobinya, Riki mendedahkan dia mempunyai minat mendalam terhadap seni.

“Saya sedang menyiapkan dua potret rakan-rakan saya.”

Semoga Riki memotret kejayaan di Kuala Lumpur 2017, lantas wajahnya menjadi sebahagian potret kejayaan kontinjen negara.

Nama penuh: Rikigoro Shinozuka

Tarikh lahir: 13 Januari, 1995

Tinggi: 173sm

Berat: 60.5kg

Asal: Selangor

Pencapaian: Pingat perak Sukan SEA 2015, mewakili negara ke Kejohanan Triathlon Remaja Dunia 2014 di Edmonton