SEPATU LUNCUR AIS DAN KALIGRAFI UNTUK AINA

Kuala Lumpur: Bagi peserta luncur ais berdansa, Aina Sorfina Mohd Aminudin, prospek mewakili negara di Sukan SEA 2017 cukup mendebarkan.

Beraksi dalam acara yang juga dikenali sebagai luncur figura – sebahagian daripada disiplin untuk sukan yang lebih lazim dipertandingkan dalam musim sejuk, Aina memasang impian memperagakan rutin tariannya di depan penyokong sendiri.

“Saya berharap dapat terpilih ke Sukan SEA. Perasaan saya bercampur baur, takut ada, teruja pun ada,” kata Aina, yang berpeluang tersenarai dalam disiplin perseorangan, berpasangan dan seirama di bawah program¬†Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM).

Meminati bekas juara dunia dan Olimpik dari Korea Selatan, Yuna Kim, Aina meluncur ais sejak berusia lapan tahun dan muncul juara remaja kebangsaan pada 2015 dan 2016.

Semangat Aina membara sepanjang 2016, ditandai dengan kejayaan menduduki tangga ke-12 Trofi FBMA di Abu Dhabi pada Januari, disusuli tangga ke-22 di Trofi Sofia, Bulgaria (Februari), ke-37 di Kejohanan Grand Prix Remaja Jerman di Dresden (Oktober) dan tangga kedua Cabaran Luncur Figura Asia Tenggara Disember lalu.

Meminati Nutella dan teh bunga, Aina memiliki hobi yang unik di sebalik ketrampilan menari di atas ais sambil bebas mengikut alunan muzik.

Jika tidak memakai sepatu luncur berbilah besi yang dianggarkan bernilai RM3,000 sepasang, Aina gemar melukis.

“Selain melukis figura, saya juga sedang belajar kaligrafi,” katanya.

Tentunya Aina memasang impian melukis namanya di tinta sejarah Ogos nanti.

BIODATA

Nama: Aina Sorfina Mohd Aminudin

Tarikh lahir: 25 Julai, 1999

Tinggi: 167sm

Berat: 53sm

Pencapaian: Ke-12 Trofi FBMA (Abu Dhabi, UAE), ke-22 Trofi Sofia (Bulgaria), ke-37 Grand Prix Remaja Jerman (Dresden), kedua Cabaran Luncur Figura Asia Tenggara.