SERUAN UTAMA AHMED DEEDAT

KUALA LUMPUR: Dinamakan sempena nama seorang pendakwah terkemuka dari Afrika Selatan, Ahmae Deedat Abdul Razak menanam tekad mencipta nama di bidang berbeza.

Sejak awal remajanya, Ahmed Deedat sudah dikenali sebagai pemain tenis berbakat.

Pada usia 14 tahun, Ahmed Deedat yang dilatih oleh bapanya, Abdul Razak Yusoff, sudahpun menarik tajaan CIMB berjumlah lebih RM100,000.

Hampir sedekad kemudian, Ahmed Deedat bergelut untuk mengekalkan reputasi sebagai pemain tenis bertaraf Asia Tenggara.

Tanpa pendedahan sekurang-kurangnya 20 kejohanan antarabangsa peringkat Futures dalam setahun, Ahmed Deedat dipaksa bersaing dengan rakan-rakan seperjuangan seperti Syed Agil Syed Naguib dan Assri Merzuki untuk mengasah kepakaran.

Dalam kembaranya, Ahmed Deedat menjadi pemain pertama muncul juara di peringkat Futures (sirkit profesional paling asas dalam saingan anjuran Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), di bawah Grand Slam, Jelajah ATP dan Jelajah Challenger ATP) apabila berganding bahu dengan Chu Yu Hsiang menjuarai beregu lelaki Futures F4 Piala Becamex IDC Vietnam di Binh Duong, September tahun lalu.

Sebelum itu Ahmed Deedat mendapat pengiktirafan di peringkat remaja selaku juara MSSM.

Ditanya mengenai namanya, Ahmed Deedat memberitahu kitajuara.nsc.gov.my: “Nama saya diberi oleh datuk sebelah ibu dari Melaka yang mengagumi pendakwah Ahmed Deedat.

“Saya pernah baca bukunya dan tonton ceramahnya di youtube.”

Takdir menentukan Ahmed Deedat melakar nama di bidang sukan.

Namun untuk mewarnai arena tenis, Ahmed Deedat dan rakan-rakan berdepan kesukaran untuk beraksi di Futures iaitu sirkit paling rendah dalam saingan Jelajah profesional lelaki di bawah ITF kerana harus berada pada ranking di bawah 1,000 dunia.

Ahmed Deedat dan rakan-rakan seperti Syed Agil Syed Naguib dan Assri Merzuki hanya beraksi tujuh hingga 10 pertandingan sejak Januari 2016.

Meminati sushi dan jus tembikai, Ahmed Deedat tidak mahu menjadikan kesukaran bertanding sebagai alasan.

“Saya kalau stres akan pegang kayu golf dan pergi ke lapangan golf,” katanya.

BIODATA

Nama: Ahmed Deedat Abdul Razak

Tarikh lahir: 18 Jun, 1995

Tinggi: 174sm

Berat: 67kg

Pencapaian: Juara beregu Futures F4 Piala Becamex, Vietnam 2016