WIRA DI BALIK TABIR

KUALA LUMPUR (25 DISEMBER, 2017): Sokongan ibu bapa adalah antara tunjang di sebalik kejayaan seorang atlet. Merekalah wira di sebalik tirai dalam memastikan anak-anak fokus dan berjaya di bidang masing-masing.

Menyedari hakikat ini, Majlis Sukan Negara (MSN) mempelawa beberapa ibu bapa untuk meluahkan perasaan mereka di depan ratusan atlet ketika di Perhimpunan Atlet Kita Juara Fasa 2 baru-baru ini.

Ibu kepada atlet bola jaring, An Najwa Azizan, Norsila Jaafar, seorang pegawai bank yang berasal dari Ampang, berkongsi harapan terhadap anak keempatnya.

An Najwa mengalih tumpuan dari lompat tinggi ke bola jaring selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran di tingkatan tiga di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011.

Dibesarkan dalam persekitaran yang terdiri daripada lima adik-beradik, seorang kakak, dua abang dan seorang adik lelaki, An Najwa, satu-satunya mewarisi darah sukan bapanya, Azizan Azmi, bekas pemain ragbi kebangsaan yang menyarung jersi Malaysia dari 1981 hingga 1998.

Bapa kepada rakan sepasukan An Najwa, Noramirah Dayana Noor Azhar, iaitu Noor Azhar Zainuddin, juga menyampaikan kata-kata pesanan kepada audiens.