ZYLANE, HUA WEI KIAN SERASI

KUALA LUMPUR: Baru setahun digandingkan bersama, atlet renang berirama negara,  Zylane Lee Yhing Hui tidak melihat alasan keserasian mencari persefahaman bersama gandingan baharunya, Gan Hua Wei, merencatkan harapan meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA 2017 nanti.

Melakukan aktiviti bersama ketika menjalani latihan mahupun di luar, Zylane menganggap kini dirinya kian serasi bersama gandingan baharu dan yakin mampu menghadirkan pingat emas buat negara, sebagaimana gandingannya bersama Katrina Ann Abdul Hadi menuai emas pertama kontinjen negara di Singapura pada 2015.

Zylane, 25, yang serasi dengan rakan sebayanya Katrina yang sudah bersara, berharap jurang usia di antaranya dan Hua Wei, 18, bukan batu penghalang kepada sukses nanti.

Komitmen mereka terhadap pemburuan emas tidak boleh dipertikaikan lagi. Tiga hari selepas Tahun Baharu Cina, Zylane dan Hua Wei akan kembali menjalani latihan sebelum berangkat ke China dalam usaha mengasah teknik mereka.

“Bila ada masa lapang terutamanya selepas latihan, kami akan keluar makan bersama, di sini hubungan dan keserasian dapat dieratkan, bagi saya kami kini umpama adik beradik yang saling memerlukan di antara satu sama lain.

“Namun dia ada ruang dia, saya ada ruang saya. Kami hormati ruang ini. Kalau terlalu rapat pun mungkin mengundang rasa kurang selesa.

“Memang pada mulanya agak sukar tapi selepas setahun bersama segala kesukaran dan kurang persefahaman berjaya diatasi sepenuhnya,” jelasnya pada sidang media di Majlis Sukan Negara, tengah hari tadi.

Zylane yang berganding dengan Katrina Ann bagi acara duet teknikal di Singapura, menarik perhatian juri dengan kutipan mata tertinggi iaitu 75.3436 mata manakala Singapura di tempat kedua dan ketiga, masing-masing menerusi Stephanie Chen-Crystal Yap dan Natalie Chen-Debbie Soh.

Tekad meraih pingat emas bagi acara free solo, free duet dan duet teknikal, atlet berusia 25 tahun ini percaya kemampuan rakan gandingannya untuk bersama memberikan persembahan terbaik bagi meraih seberapa banyak mata.

“Walaupun kami baru digandingkan, saya lihat kesungguhan Hua Wei setiap kali berlatih mahupun penyertaan dalam kejohanan. Tumpuan kami kini sudah pastinya menyertai beberapa siri kejohanan untuk mengekalkan tahap keserasian serta mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang boleh diperbaiki,” jelasnya.

Bagi Hua Wei, sudah pastinya merasai tekanan bila digandingkan dengan Zylane namun tetap menghamburkan penghargaan atas sokongan serta tunjuk ajar gandingannya itu.

“Memang pada awalnya tekanan itu ada tetapi saya jadikannya sebagai cabaran dari semasa ke semasa, mencari keserasian selain mendapat tunjuk ajar dari Zylane serta jurulatih keyakinan saya kini berada di tahap terbaik.

“Fokus kini terarah pada sasaran pungutan emas bagi acara yang bakal disertai iaitu, teknikal solo, duet teknikal dan duet free. Masih banyak perlu dipelajari dan itulah yang sedang saya lakukan,” jelas atlet kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini.

Jurulatih, Long Yan, percaya keserasian di antara dua perenang berirama itu harus menunjuk jalan kepada rakan-rakan sepasukan.

Sementara itu, pengurus pasukan, Sui Wai Leng berkata, beberapa kejohanan peringkat antarabangsa telah diaturkan buat kedua atlet tersebut untuk memberikan pendedahan dan mencipta keserasian.

“Mereka akan menyertai latihan di China selama seminggu selepas Tahun Baharu Cina, kemudian menyertai  kejohanan di Perancis (Mac), Jepun (April), Amerika Syarikat (Jun)  dan China (Julai).

“Kejohanan seumpama ini penting sebagai persiapan atlet untuk memastikan sasaran emas pada Sukan SEA 2017 nanti tercapai,” katanya yang turut memaklumkan seramai 12 atlet akan menyertai lima acara bagi sukan renang berirama ini.

Keterangan gambar: (dari kiri) Hua Wei, Wai Leng, Long Yan dan Zylane optimis menjelang Sukan SEA 2017